Setiap hari ada saja kes-kes penipuan siber yang dilaporkan sama ada di media cetak, elektronik mahu pun di Internet, jika bukan berlaku dalam negara tentu saja di peringkat global.
Terdapat pelbagai jenis jenayah siber sama ada melibatkan penipuan maklumat peribadi bagi akaun bank dan kad kredit atau maklumat mengenai sesebuah organisasi.
Jika kita melayari laman web, terdapat iklan yang mencurigakan seperti tawaran menjual maklumat organisasi, alamat e-mel dan pelbagai aktiviti yang sukar diterima akal.
Bagi melindungi aktiviti mereka, penggodam menggunakan alamat IP yang telah dijangkiti virus bagi menghantar pelbagai e-mel, sama ada phishing atau pun penipuan.
Bagi memburukkan lagi keadaan, terdapat syarikat yang mengupah pakar menggodam komputer dan menjadikannya `lubuk duit’ melalui komputer peribadi (PC) yang telah dijangkiti virus.
Terdapat beberapa aktiviti penipuan seperti phishing yang melibatkan kecurian maklumat kad kredit, mesin juruwang automatik (ATM) dan kata laluan.
Aktiviti ini dilakukan dengan meniru laman web dan ‘memancing’ pengguna memberikan nombor kad kredit serta kata laluan yang biasanya melibatkan perbankan.
Masalah ini semakin hari semakin meningkat dan pada tahun lalu saja ia bertambah sehingga 92.5 peratus.
Bagi menghadapi masalah jenayah siber yang semakin berleluasa, sebuah syarikat beribu pejabat di Finland, F-Secure meluaskan operasi di rantau Asia Pasifik dengan menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat.
F-Secure yang mula beroperasi pada tahun 1988 adalah salah satu daripada beberapa syarikat keselamatan siber pertama negara ini.
Naib Presidennya, Jari Heinonen berkata, ancaman keselamatan semakin rumit menyebabkan F-Secure menempatkan 550 orang kakitangannya di 15 buah negara Asia Pasifik.
Setelah beroperasi di Malaysia lebih kurang 10 tahun, F-Secure memberi penekanan menawarkan penyelesaian bagi syarikat korporat.
“Matlamat kami adalah untuk mendapatkan lebih banyak pasaran dalam bidang keselamatan siber,’’ katanya semasa ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Kini, operasi F-Secure terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu pelanggan daripada golongan korporat serta syarikat dan industri kecil dan sederhana (IKS).
Pelanggan syarikat serta korporat biasanya membeli daripada pengedar dan memperbaharuinya secara dalam talian.
Kini beberapa agensi kerajaan dan swasta telah menggunakan khidmat F-Secure. Bagi pelanggan IKS pula,, pendekatan sebagai pembekal perkhidmatan dan tidak hanya bergantung kepada pengguna.
“Kaedah ini berjaya di Eropah dan Kanada bagi pengguna rumah, IKS dan syarikat besar dengan tambah nilai.
“Ini bagi membolehkan pengguna akhir mendapatkan produk lebih murah dan mudah,’’ katanya.
Secara tipikal, pelanggan tidak perlu tahu mengenai teknikal tetapi penyelesaian keselamatan perlu telus kerana ia kini menjadi keperluan.
Apa yang menarik F-Secure akan mengemaskini data anti virus dan membebaskan setiap dua hingga empat jam dengan purata enam hingga lapan kali sehari. Ini boleh dilakukan kerana pejabat Kuala Lumpur beroperasi 16 jam sehari, manakala di Findland 24 jam sehari tujuh hari seminggu.
Heinonen berkata, Malaysia dipilih sebagai lokasi ibu pejabat Asia Pasifik sejak September 2006 dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan ini merupakan salah satu cara bagi mengukuhkan lagi operasi vendor di rantau ini.
Heinonen mendedahkan terdapat juga segolongan individu yang mencuri maklumat tetapi menjualnya kepada orang ketiga dengan harga yang lumayan.
“Terdapat juga sasaran serangan berbeza yang biasanya bagi mengintip sesuatu organisasi tertentu dengan menghantar fail berkaitan dalam bentuk dormat .doc, .xcs atau .ppt yang biasa digunakan.
“Apabila fail berkenaan dibuka, spyware akan dibebaskan ke dalam pelayan dan tugasnya mengintip serta mencuri maklumat di dalam sesebuah organisasi,’’ katanya.
Intipan ini sukar dikesan kerana penggodam menggunakan costume made backdoor yang amat spesifik dan hanya boleh digunakan sekali saja.
“Memandangkan keselamatan siber menjadi isu antarabangsa, F-Secure berusaha membangunkan pelbagai penyelesaian bagi menanganinya,’’ katanya.
Misalnya dalam costume made backdoor, F-secure dapat mengesannya melalui kelakuan fail semasa dibuka.
Heinonen berkata, dengan menggunakan penyelesaian proaktif - F-Secure DeepGuard boleh melindungi komputer daripada fail berkenaan. Selain PC, F-secure juga mempunyai penyelesaian keselamatan mobiliti bagi telefon mudah alih pintar yang menerima ancaman virus.
“Biasanya virus mobiliti disebarkan melalui Bluetooth dan khidmat pesanan multimedia (MMS),’’ katanya.
Sejak tahun 2004 saja ancaman virus mobiliti meningkat lebih cepat berbanding virus PC. Virus yang popular bagi telefon pintar adalah cabir, commwarrior dan skulls.
Masalah jangkitan yang melibatkan MMS boleh dihalang oleh syarikat telko tetapi masalah timbul jika dijangkiti melalui Bluetooth.
Heinonen berkata, F-Secure Blacklight dengan rootkit detection boleh menyelesaikan masalah dengan keupayaan melihat apa yang tersembunyi di dasarnya.
Sumber: "Utusan.Com.My"
Posted by: aceh-online on Friday, May 11 @ 01:38:36 CEST
Related Links
· More about Technology · News by aceh-online
Most read story about Technology:
Google yakin atasi enjin carian lain