Ainan mahasiswa berusia 10 tahun
Pada usia tujuh tahun, Ainan mula mendapat perhatian dunia kerana kepintaran luar biasanya dan menjadi kanak-kanak termuda lulus subjek kimia di peringkat GCE O-Level. Hari ini dia mengukir satu sejarah lagi apabila bergelar mahasiswa universiti.
“SEJAK kelahirannya dia merupakan bayi yang luar biasa. Apabila saya bercakap, dia memalingkan kepalanya kepada saya dan terus berhenti menangis,” luah Valentine Cawley, 41, mengenai anak sulungnya, Ainan Celeste Cawley, 10.
Petanda lain mengenai kelahiran anak sulung Valentine turut dirasai oleh isterinya, Syahidah Osman Cawley, 30, seorang pelukis potret dan penulis.
“Ketika saya mengandungkan Ainan, berlaku gerhana matahari penuh. Saya dan suami dapat menyaksikan gerhana matahari tersebut bersama-sama,” katanya.